Tuesday, September 28, 2010

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010

Warga SK Bandar Kuala Krai telah mengadakan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2010 pada hari Ahad, 26 September 2010. Program sambutan ini melibatkan guru-guru dan kakitangan serta para pekerja kontrak sekolah.


Majlis tersebut diserikan dengan majlis ucapan, persembahan dan jamuan hari raya. Semua wakil di kalangan guru, pelajar dan pekerja telah membuat persembahan dalam majlis tersebut.


Berbagai-bagai juadah telah dihidangkan. Sebahagian daripada juadah dibawa oleh para pelajar. Manakala sebahagian lagi santapan hari raya untuk pelajar ditaja oleh seorang guru sekolah. Jamuan khas untuk guru dan kakitangan pula ditaja oleh pemajak kantin.

Sambutan perayaan kali ini turut diserikan dengan kehadiran Puan Aigi A/P To Wen, bekas guru sekolah ini yang kini bertukar sebagai Penyelia Petang di SK Batu Mengkebang.


Program ini berjaya memupuk silaturrahim dan kerjasama di kalangan seluruh warga SK Bandar Kuala Krai.

Saturday, September 4, 2010

Majlis Penutup Tadarrus Al-Quran



Majlis Penutup Tadarrus Al-Quran sempena Ramadhan 1431H ini telah diadakan pada 2 September 2010. Majlis yang diadakan di Dewan Terbuka SK Bandar Kuala Krai diadakan seawal jam 12.00 tengah hari.

Majlis tersebut yang telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar, SK Bandar Kuala Krai dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan doa yang dipimpin oleh Ustaz Ismail.  Dalam ucapan beliau, Tuan Guru Besar menyeru pelajar agar meneruskan amalan membaca Al-Quran ini di rumah tanpa mengira masa.  Beliau meminta agar semua pelajar sentiasa mendalami ilmu Al-Quran dan mencari makna setiap baris ayat yang dibaca.


Program yang bermula pada 1 Ramadhan ini berjaya menamatkan bacaan 30 juzukh Al-Quran. Kira-kira seramai 50 orang pelajar yang terlibat dalam program tersebut menerima sijil dan cenderahati yang telah disampaikan oleh En Mat Nawang b Jaaih, Penolong Kanan Pentadbiran.

Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang, program turut diserikan dengan penyampaian duit raya kepada pelajar anak yatim yang telah disumbangkan oleh guru-guru dan kakitangan sekolah.

Kemuncak kepada majlis penutup tersebut, acara bersalam-salaman antara semua murid dan guru-guru telah diadakan.