Thursday, October 21, 2010

Ceramah Kesihatan Pergigian

Kakitangan Klinik Pergigian Kuala Krai telah mengadakan lawatan ke SK Bandar Kuala Krai. Lawatan ini telah bermula sejak hari Isnin, 18 Oktober 2010. Seramai 3 orang kakitangan yang terlibat. Antara lain tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk membuat pemeriksaan gigi semua pelajar SK Bandar Kuala Krai, dari Prasekolah hingga ke Tahun 5.


Selain itu, pelajar-pelajar juga ditunjukkan dengan kaedah menggosok gigi dengan betul. Program ini berlangsung di Bilik Kesihatan Sekolah. Kemuncak kepada lawatan ini ialah sesi ceramah mengenai penjagaan kesihatan gigi yang telah diadakan di Dewan Pusat Sumber Sekolah.

  

Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Puan Wan Rohanisah bt Wan Hanafi, Jururawat Pergigian, Klinik Pergigian Kuala Krai.  Antara lain beliau mengingatkan para pelajar agar sentiasa memberus gigi dengan kaedah yang betul dengan kekerapan yang mencukupi. Beliau juga menerangkan mengenai makanan yang perlu diambil untuk menguatkan gigi dan makanan yang boleh merosakkan gigi.

  Pihak sekolah merakamkan ucapan terima kasih atas usaha murni Klinik Pergigian ini demi memastikan  setiap pelajar mendapat pendedahan kepentingan menjaga kesihatan gigi bersesuaian dengan slogan 'Gigi Sihat Senyuman Memikat'.

Sunday, October 17, 2010

Anugerah Kelas Cantik Bulan Kemerdekaan 2010


Tahun 5B telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kelas Cantik sempena Pertandingan Kelas Cantik Bulan Kemerdekaan 2010 yang diadakan sepanjang pertengahan bulan Ogos dan berkahir pada pertengahan bulan September baru-baru ini. Kelas 5B memenangi anugerah tersebut bagi kategori Tahap 2. Manakala bagi kategori Tahap 1 telah disandang oleh Tahun 1B.


Dalam satu majlis ringkas yang diadakan di tapak perhimpunan sekolah, Puan Rashidah bt Wan Muda selaku Penolong Kanan HEM telah mengingatkan para pelajar agar memastikan bilik darjah dalam keadaan bersih dan ceria. Beliau mengucapkan tahniah kepada kelas -kelas yang menggondol anugerah tersebut. 

 
Beliau juga berharap semoga anugerah yang disampaikan itu akan menjadi pendorong kepada murid-murid kelas lain untuk bersaing dalam meningkatkan kebersihan dan keceriaan kelas masing-masing.
 
Beliau turut menyampaikan hadiah berupa hamper dan sijil penghargaan kepada kelas pemenang. Tahun 5B dan 1B  telah diwakili oleh Ketua Kelas masing-masing iaitu Adik Ahmad Fizrie Hakim b Rosman dan Adik Nur Aishah bt Azhar.

 
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh wakil murid tahun  4B yang mempersembahkan aktiviti simulasi dalam Bahasa Inggeris di bawah pimpinan Cikgu Anies Yuslen bt Sha'ari.